Nuffnang

Khamis, 26 Januari 2023

Convocation My Daughter Last Year

Tahun lepas convocation..tahun ni baru teringat nak update. Sebabnya, takut si kakak kecil hati. Akhir2 ni aku selalu upload video si adik dalam channel Youtube aku. Tetiba teringat diri ini semakin tak sihat. Mana tahu, mungkin ini tahun terakhir aku hidup atas dunia ni? Alang2 dah ada channel Youtube, aku abadikan saja kenangan manis yang satu ini buat anak2ku. Moga si adik juga dapat inspirasi daripada kejayaan kakaknya. Aamiin.

Jumaat, 24 Julai 2020

Assalammualaikum, Selamat Pagi..

Promosi Kasi Chance ada lagi sampai 30/7/2020...Jangan lepaskan peluang ini. Harga asal sehelai Rm45.00..

#ArianaSofie
#TudungBawalExclusive
#teamjutawanASQira

Rabu, 10 April 2019

Kenangan Syawal





        Syawal 2009.kali pertama aku berjauhan dari suami di pagi syawal. Sejak aku mendirikan rumah tangga pada tahun1995,aku tak pernah lagi berjauhan dengan suami ketika syawal menjelang. Kali ini ianya berbeza kerana hasrat hati yang sekian lama ku pendamkan ini. Bersama anak saudaraku berserta suaminya dan seorang anaknya aku berangkat ke Selangor tiga hari sebelum syawal. Aku bawa sekali anak tunggalku. Suamiku tak mahu ikut serta. Janggal katanya untuk menyambut syawal di tempat orang. Almaklumlah! Dia memang tak pernah berenggang jauh dari ibu bapanya terutama ketika di pagi syawal. Tempat pertama yang dia wajib pergi adalah menziarahi kedua ibu bapanya dan memohon kemaafan. Aku tak mahu memaksa,cuma aku mahukan redhanya untuk berjauhan darinya tahun ini demi hasrat hati.

        Berat hati memang berat hati tapi aku terpaksa korbankan perasaan itu buat seketika. Rasa sebak dalam dada bila mengenangkan diri ini akan menyambut syawal tanpa suami tercinta. Tanpa mencium tangannya macam biasa di pagi syawal. Aku kuatkan jiwa dan pujuk hati. Insya-Allah tahun depan masih ada lagi. Pemergianku bukan kerana terpaksa,tapi pemergianku kerana hasrat hatiku yang ku pendamkan sekian lama. Berpuluh tahun sudah, ku nantikan detik ini.

        Ketika kakiku menjejaki Selangor di hening pagi 27 Ramadhan hatiku berbisik ceria, ''Mak! anak bongsu mak sudah datang,untuk menziarahi mak kali pertama. Ayah! anakmu ini datang untuk menziarahi kalian. Tunggukan aku pada syawal ini. Aku pasti tiba!'' Dalam sedih,aku gembira untuk menyambut syawal di sini. Sudah sekian lama aku tak menyambut syawal bersama kakak-kakak dan abangku. Sekian lama, sebelum aku kahwin. Dulu,aku pernah menyambut syawal di sini,ketika usia remajaku. Memang berbeza menyambut syawal di Selangor berbanding menyambut syawal di Kedah. Rata-rata orang di Sabak Bernam ini adalah orang jawa. Dari segi makanan dan adat memang banyak bezanya.

       Ini bukanlah masalah besar bagiku,yang penting,aku harus hargai kesempatan ini dapat berkumpul dengan adik beradik sendiri. Kakakku ini mempunyai 12 orang anak,6 lelaki dan 6 perempuan. Meriah sungguh rumahnya bila anak-anaknya berkumpul. Sehari sebelum raya,anak-anak tirinya pula pulang. Ya Allah betapa meriahnya saat itu. Hatiku gembira bukan kepalang. Kesedihan meninggalkan suami di Kedah hilang begitu saja. Sudah lama ku nantikan saat-saat begini. Riuh rendah dengan gelak tawa saudara-mara sendiri. Kalau di rumah aku,setiap kali takbir bergema,hatiku terlalu sayu mengenangkan semua saudara mara yang jauh di mata. Kalau ada saudara di Kedah pun,kami tetap tak dapat bertemu pada hari raya pertama. Sukarnya untuk kugambarkan kesulitan untuk berkumpul bersama. Masing-masing sudah punya keluarga sendiri. Ada yang nak mengambil hati keluarga mertua,ada yang nak mengambil hati keluarga angkat,termasuk aku. Semua hati harus dijaga,hati sendiri biarlah tidak bahagia. Tak mengapa! aku ini kuat orangnya. Biar menangis seorang diri,namun keceriaan di wajah tetap ku pancarkan.

       Pagi syawal menjelang,memang tak sama dengan apa yang ku lalui di Kedah. Kalau di rumahku,di pagi syawal,kuih belum lagi ku hidangkan sudah kedengaran suara kanak-kanak memberi salam. Bila diajak masuk,alasannya sudah kenyang. Di sini tiada kanak-kanak yang beremba datang,kalau ada pun bersama keluarga masing-masing. Masuk ke rumah makan dan bersalaman. Kuih muih pula cara menghidangnya juga jauh berbeza. Resepi kuah kacang untuk nasi impit juga berbeza cara masaknya. Aku tengok anak saudaraku menghiris ketupat dan nasi impit ke dalam pinggan tanpa membuang pembalutnya. Bila ku tanya dia,katanya untuk mengelakkan nasi impit dan ketupat menjadi keras. Mungkin ada benarnya tapi kalau di rumahku buat begitu,lebih-lebih lagi kalau mertuaku yang bertandang mungkin yang terlintas di fikirannya adalah,pemalas. Aku senyum sendiri,bukan nak syak wasangka pada mertua sendiri tapi adat dan cara kita yang berbeza.

       Tengahari,keluarga kakakku masih sibuk melayan tetamu yang berkunjung ke rumahnya. Aku sudah mula gelisah kerana hasrat hati belum terlaksana. Aku sudah tidak sabar untuk mengunjungi pusara ibu dan ayah. Sudah lama ingin ku ziarahinya. Ibu meninggal tahun 1982,manakala ayah pula tahun 2003. Mungkin sudah tertulis,ketika ayah meninggal dia ada di rumah abangku di Teluk Intan Perak,jadi ayah disemadikan di sebelah ibu.

     Selepas asar baru kami bertolak ke rumah kakakku di Sungai Nibung. Sebelum ni aku berada di rumah kakakku di Kampung Batu 38,Baruh,Sabak Bernam. Dari Baruh,kami pergi ke Sungai Nibung. Selesai di Sungai Nibung kami bertolak pula ke Kampung Kebun Sirih,rumah kakakku yang seterusnya. Kami memang ramai adik beradik pun,cuma jarak memisahkan kami sejak kecil. Sesekali saja berkumpul begini. Bahagia tu memang tak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Aku tak nafikan,ketika di sini,aku lupa seketika suami yang ditinggalkan. Perasaan sedih tu hilang begitu saja kerana aku ingin menghayati saat-saat ini dalam suasana yang amat bermakna dalam hidupku.

       Kami sampai di Kampung Sungai Kerang,Teluk Intan, Perak bila hari sudah petang benar. Kakak-kakakku yang lain tak mahu ikut serta ke pusara. Hanya abangku yang membawa kami bersama salah seorang suami anak saudaraku dan juga anak tunggalku. Kami berempat sampai di pusara yang sunyi sepi,dikelilingi hutan kelapa sawit. Tanah perkuburan Sungai Jejawi,Teluk Intan, Perak bersemadinya jasad kedua ibu bapaku di sini. Sayu hati ini bila kakiku sudah berdiri di depan dua pusara. Air mata ini sudah bergenang sambil berbisik di hati ''Mak! anak mak sudah datang! Ayah! Maafkan diri ini!''

      Kami mula duduk bertinggung sambil membaca surah Al-Fatihah. Abangku membacakan doa buat kedua ibu bapa tercinta. Hatiku sudah menangis sayu dan tanpa sedarku air mata sudah mengalir ke pipi. Aku menyekanya pantas,kerana tak mahu dilihat abangku. Sebak hati ini bila kenangan bersama ibu dan ayah kembali bertandang di minda. Sesungguhnya Allah lebih menyayangi mereka berdua. Moga keduanya beroleh ketenangan di alam sana. Kami pulang setelah maghrib hampir menjelang. Kali pertama dan terakhir aku mengunjungi pusara kedua ibu bapaku. Aku kehilangan mereka dan tidak berkesempatan untuk menziarahi mereka selalu. Yang masih mempunyai kedua ibu bapa,hargailah mereka kerana sejahat mana pun mereka,segarang mana pun mereka,merekalah yang melahirkan kita dan dalam tubuh kita ini mengalirnya darah mereka.

        Syawal kali ini,aku pasti akan harungi lagi saat-saat sedih ketika takbir pertama berkumandang macam tahun-tahun yang sudah berlalu. Apalah ertinya syawal tanpa saudara mara di sisi. Aku abadikan diri ini hanya buat keluarga kecilku. Di sini aku menumpang kasih keluarga mertua dan orang-orang kampung. Keluarga mertua yang selalu menceriakan syawalku. Tanpa mereka,aku sudah tak punya apa-apa.
Semoga Allah merahmati mereka,kerana melayan aku apa adanya.Amin,.




Di Pondok Kecil






Khamis, 23 Ogos 2018

Ogos 2018 Penuh Memori

Sungguh tak ku duga group WhatsApp keluarga akan mengeratkan kami semua. Bermula segalanya selepas aku   mendapat hp yang diberi anak daraku. Aku buka group WhatsApp dan masukkan no hp yang ada padaku. Hanya ada beberapa orang saja dan aku add sebahagiannya sebagai admin group. Akhirnya group family yang diberi nama Family Pak Leh semakin ramai ahlinya. Ada anak, menantu dan cucu ayah dan emakku.  Kemudian kakak aku beri pula no hpku untuk di add masuk dalam group cucu, cicit Tok Pie pulak..tok wan sebelah ayahku.

Memang dah lama sangat kami lost contact, berpuluh tahun lamanya dan ada yang aku langsung tak pernah kenal. Melalui group cucu cicit ini masing2 mengenalkan diri dan ada ramai juga yang hanya jadi cctv. Tak ada nama, tak ada gambar..hurm..tak boleh nak kata apalah semuanya perlu ada privasi dan ramai jugak yang nak low profil, tak mau femes sekelip mata..hahaha...

Masalah aku ni satu saja, bila mereka minta gambar keluarga atau gambar aku, memang payahlah nak bagi, sebabnya memang jarang dok selfie dan tak pernah snap gambar sekeluarga. Nak snap 4 orang sekaligus memang tak pernah lagi terutama pada hari raya. Tak percaya ka? Itulah hakikatnya.

Dalam group keluarga ni paling banyak bersoal jawablah sebab ramai yang tak mengenali di antara satu sama lain. Bila ada yang pos gambar, aku tengok saja. Dan aku paling suka baca status WhatsApp. Lah..dalam ramai2 aku add contact hanya beberapa orang saja yang suka up status. Aku pulak yang paling kerap up status. Yang baca paling ramai 6 orang. Masing2 tak aktiv pun. Mungkin semuanya terlalu sibuk dengan tugas harian, tak macam aku yang terlalu banyak masa untuk bersosial. Bilalah nak insaf tak tau?

Walau apa pun, bulan Ogos 2018 merupakan memori terindah aku. Kami bertemu kembali dan dapat bertanya khabar. Aku dapat berhubung kembali dengan saudara mara yang jauh. Dapat berhubung dengan kakak-kakakku, anak saudara dan sepupu-sepupuku. Alhamdulillah..dengan teknologi hari ini kami dapat berhubung kembali. Aku berharap lepas ni akan ada group family sebelah emakku pula. Yang ni lagi ramai aku tak kenal. Adik beradik emak dan ayahku memang ramai, tapi yang sadisnya dalam ramai2 tu saling tak mengenali.

Emak meninggal tahun 1982, kami pula terpisah tahun yang sama. Dua orang kakak kembar tinggal dengan keluarga angkat selepas 3 hari dilahirkan. Aku tinggal dengan kakak, begitu juga dengan kakak yang lain. Masing2 bawa haluan yang berbeza, hanya takdir yang akan temukan kami kembali. Kalau ada saudara mara yang datang cari tu, bersyukurlah. Nak harap kami yang pergi mencari, memang tak tahu hala tujulah...