Kali ke-2 aku ke UPSI, tapi kali ini kami tidak
berdua. Alhamdulillah..syukur ke hadrat Ilahi kerana mengurniakan anugerah ini.
Pemberian yang tak terhingga buat kami suami isteri. Demi masa depan anak
kandung tunggal kami.
Malam raya Aidilfitri kami terima berita gembira
ini. Anak kami diterima untuk ditemuduga dan akhirnya selepas menghadiri
temuduga, keluarlah keputusan dia diterima sebagai salah seorang pelajar di
UPSI. Sejujurnya aku dan suami tidak pernah menaruh harapan setinggi langit.
Kami hanya mampu berserah kerana kami percaya 100% Allah yang menentukan
segalanya.
*************
3 september 2017 kami bertolak dari rumah di Yan,
Kedah pada pukul 12.00 tengahari. Hari raya ke-3 Aidiladha dan ramai rakyat
Malaysia berpusu-pusu untuk pulang ke Kuala Lumpur untuk meneruskan tugas
harian dan sebagainya. Kebetulan cuti bersambung-sambung bermula dengan cuti
sekolah, cuti Hari Kemerdekaan Malaysia, cuti hari raya dan cuti kemenangan
sukan sea yang terlebih sasaran target. Memang mencabar jugalah perjalanan kami
kali ini. Kami bertolak dengan dua buah kereta ke Rawang Selangor. Kereta yang
dinaiki oleh aku, suami dan anak dara tunggal kami bertolak terlebih dahulu.
Sebuah lagi kereta anak saudara suamiku yang bekerja di Rawang dan tinggal di Rawang
tertinggal di belakang. Kami akan menumpang di rumah mereka semalam sebelum
bertolak esok paginya ke UPSI.
Kami tiga beranak menumpang kereta anak saudara
suamiku iaitu anak kepada abang suamiku yang no-2..mereka suami isteri yang menawarkan
bantuan untuk menghantar kami. Kebetulan, anak lelaki kami menaiki kereta satu
lagi, iaitu kereta anak saudara suamiku yang tinggal di Rawang. Apa nak buat,
kereta yang dinaiki kami sudah penuh dengan barang-barang anak perempuan kami.
Banyak sungguh barang-barang yang perlu dibawa termasuk baju-baju untuk dipakai
ke kuliah nanti.
Awal perjalanan nampak biasa saja, namun selepas
kami melepasi Sungai Dua seberang Jaya mungkin, jalan sudah mula sesak. Jammed
serata jalan dan sesekali saja kereta dapat meluncur dengan laju. Dan
akhirnya..jalan semakin sesak dan sesak bila kami sudah memasuki negeri Perak.
Semua R&R penuh dan kami tidak dapat berhenti di mana-mana R&R untuk
makan, solat dan sebagainya. Terpaksalah kami meneruskan perjalanan dengan perut
lapar dan solat yang terabai.
Perjalanan kami semakin mencabar. GPS yang digunakan
menunjukkan jalan jammed sepanjang jalan dan ada juga kemalangan. Kami
terserempak juga dengan kemalangan motor dan melihat dengan mata sendiri
seorang mangsa terbaring di tepi jalan. Sepanjang perjalanan ke Rawang juga
kami bertembung dengan beberapa buah kereta ambulan di kiri dan kanan jalan.
Pertama kali kami berhenti rehat selepas penat
tersadai di jalan raya dan selepas teruk aku menahan sakit dada dan belakang kerana
angin gastrik yang menyerang ditambah pulak dengan alergik pada penghawa dingin
kereta. Tempatnya aku tak ingat di mana kami berhenti tapi tempat rehat kecil
yang tak ada surau pun. Kami ambil kesempatan untuk makan bekal yang kami bawa.
Kebetulan kami bawa nasi putih, gulai daging dan masak merah ayam. Makan
sekadar mengalas perut yang dah masuk tahap kebulur tu..hihi...
R&R seterusnya kami berpeluang berhenti ialah di
R&R Tapah kalau tak silap aku. Kali ini kami turun dan berpecah. Aku dan
anak daraku menuju ke tandas perempuan dan suamiku menuju ke tandas lelaki
sudah pastinya. Anak saudara suamiku dan suaminya, aku tak tahu pula ke mana
pula destinasi mereka. Selepas melepaskan hajat yang terperam beberapa jam, aku
dan anak daraku membeli belah pula, hihi..sekadar membeli makanan untuk kami
makan berdua. Suamiku pula entah hilang ke mana.
Kami beli buah-buahan campur dua bekas dan air oren
untuk aku dan yogurt untuk anak daraku. Sendiri mau tau, semuanya anak daraku
yang beli dan dia bayar dengan duit sendiri. Almaklumlah, orang yang nak pergi
belajar ni murah rezeki. Saudara mara pakat-pakat menghulur. Alhamdulillah,
semuanya pemberian Allah. Bukan sikit wang yang dihulur, semuanya not biru dan
juga bukan sekeping. Ada yang bagi empat keping dan dua keping dan yang lain tu
ada yang sekeping, kalau dicampur semuanya beratus jugalah dia dapat.
Aku bukan nak ambil kesempatan pun, cuma aku
kekurangan pitis(duit) saja sebab elaun aku pun dah nyaris habis digunakan
untuk dia juga dan sebagainya. Bercerita pasal buah-buahan campur yang kami beli, anak aku tak makan pun sebab
yang ada dalam dua bekas tu adalah, dua biji buah anggur, sepotong epal hijau,
sepotong epal merah, sebiji strawbery, sepotong buah kiwi, sepotong oren sunkist. Semuanya aku
yang habiskan. Anak dara aku? Huh! Dia kalau bab buah dan sayur cukup pemilih.
Tak kena gaya memang dia tak makan. Kalau bab makanan ni memang aku risau juga
dengan kerenah anak-anak aku ni. Makanan kesukaan mereka yang banyak kalori
seperti makanan ringan dan bergas saja. Puas dilarang, tapi sedikit pun mereka
tak hairan. Entahlah! Bilalah nak matang tu? Bila agaknya mereka nak matang dan
makan makanan yang tinggi serat?? Mudah-mudahan Allah akan buka fikiran mereka
untuk menerima setiap teguran aku agar mereka jangan makan makanan ringan lagi.
Aku? Tak suka sangat makan makanan ringan sebab makanan paling aku suka adalah
buah dan sayur! Tapi..tak ada seorang pun anak-anak aku yang ikut selera aku.
Biasalah tu, iman tak dapat diwarisi dari seorang ayah yang bertaqwa..inikan
pula selera makan. Opppss...dah lari tajuk panjang berjela nampaknya!
******************
Perjalanan kami diteruskan lagi dan jammed masih
panjang, hinggalah sampai satu tempat tinggi tu kami dapat melihat kereta di
hadapan seolah-olah lampu liplap berwarna merah dan kuning yang sangat cantik
sepanjang jalan. Kiri kanan jalan dipenuhi kereta-kereta yang tak bergerak atau
hanya bergerak perlahan saja, namun permandangannya sungguh mengujakan aku yang
jarang keluar rumah.
Pukul 12.15 tengah malam, barulah kereta kami dapat
parking di depan bangunan di salah sebuah perumahan di Rawang. Nak kata flat
bukan flat, mungkin adik beradik kondo juga kot, tapi taklah mewah sangat.
Namun, rasanya hajat aku sudah tercapai nak masuk ke rumah tinggi yang ada balkoni.
Yeahaa...Allah makbulkan juga cita-cita dan keinginan aku dalam diam
tapi..aduh, tak snap gambar la pulak..walaupun ada keinginan nak snap gambar sendiri atas balkoni. Diam tak
diam, banyak juga keinginan dan impian aku yang sudah tercapai setakat ini.
Terima kasih Ya Allah. Hanya Engkau yang tahu betapa terharunya aku. Insan
lemah lagi hina yang sering lalai ini tetap juga mendapat perhatian dariMu.
*************
4hb september 2017..kami bertolak di awal pagi ke
UPSI walaupun anak dara kami perlu berdaftar pada sesi ke-dua iaitu pada pukul
10.30 pagi. Mana tahu jalan jammed lagi. Memang kami sampai awal dari masa yang
ditetapkan. Perjalanan memang lancar untuk sampai ke UPSI tanpa tersekat dalam
kesesakan jalan raya. Cuma..jalan sesak bila dah memasuki perkarangan UPSI.
Almaklumlah, ramai mahasiswa dan mahasiswi baru yang hendak mendaftarkan nama
mereka hari ini. Rasanya seluruh Malaysia sudah berkumpul di UPSI hari ini
termasuk Sabah dan Sarawak.
Hari ini aku tak seramah kali pertama aku datang ke
sini. Aku lebih banyak memerhati suasana sekeliling dari bercakap. Aku tak
sempat berbual dengan sesiapa pun. Teruja juga melihat gelagat-gelagat semua
orang yang sibuk dengan urusan masing-masing. Tak tahu apa perasaan yang harus
aku gambarkan. Mungkin juga gembira bercampur sedih atau selebihnya rasa bangga
kerana dapat juga melihat satu-satunya anak dara tunggal kami dapat belajar di
sini bersama yang lain. Rezekinya sudah tertulis di sini. Sebagai ibu, hanya
doa yang mampu aku sisipkan agar dia takkan sia-siakan peluang ini. Semoga dia
berjaya mendapat masa depan yang cemerlang, gemilang dan terbilang selepas ini.
Hahaha..aku tak ingin menaruh harapan setinggi langgit. Aku cuma berharap, masa
depan anak-anak aku cerah dan mereka menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.
Menjadi hamba Allah yang beriman dan bertaqwa. Selebihnya aku berserah pada
Allah agar anak-anak aku terpelihara akidahnya, terjaga akhlaknya dan semoga
Allah pelihara kedua-dua anakku dari melakukan maksiat.
*********************
Kunci dah ada dalam tangan anakku selepas selesai
semua urusan pendaftaran. Sampailah masanya untuk kami mengangkut semua
barang-barangnya ke bilik pula. Aku join juga untuk naik ke biliknya ditingkat
dua. Kami empat beranak mengangkut barang-barangnya yang banyak itu, tapi bila
nak menaiki tangga, terpaksalah aku mengangkat bendera putih menyerah kalah.
Serius, aku memang terpaksa mengaku kalah bila masuk bab tangga, namun begitu
aku tetap tak mahu melepaskan peluang keemasan ini. Aku naik juga hingga sampai
ke bilik dalam keadaan termengah-mengah. Bila sampai ke bilik, barulah dia
perasan masih ada barang-barangnya yang tertinggal di dalam kereta. Bila anak
daraku turun ke bawah, dia meninggalkan kunci pada aku dan sempatlah aku
melepaskan lelah di dalam biliknya.
Anak aku sangat bernasib baik kerana dapat tinggal
sebilik dengan rakan satu sekolah dan sekelas dengannya ketika mereka dalam
tingkatan enam. Sesungguhnya Allah permudahkan segalanya. Terima kasih Ya Allah
yang tak terhingga. Bilik mereka hanya ada dua orang penghuni dan biliknya agak
luas juga dengan katil dan meja belajar. Memang aku sangat berpuas hati melihat
keadaan biliknya itu cuma, ada sedikit bimbang juga yang terpalit dalam hati
sebab anak aku ni cuai sikit orangnya. Sebagai ibu, perasaan bimbang tu memang
tetap ada, walaupun ada sejuta jaminan Allah tetap ada bersamanya, di mana saja
dia berada. Untuk meredakan perasaan bimbangku, macam biasa aku hanya mampu
berdoa, agar Allah pelihara anak-anakku, Allah jaga mereka dan permudahkan
segala urusan mereka. Semoga Allah beri mereka ketabahan dalam masa-masa sukar
mereka dan semoga Allah kentalkan jiwa mereka untuk menghadapi semua dugaan dan
halangan. Aamiin...
Pukul 2.20 petang, semua urusan selesai dan anakku
selamat ditinggalkan di UPSI. Sedih? Langsung tak ada dan aku macam biasa saja.
Bagi aku, untuk apa bersedih meninggalkan anak untuk menuntut ilmu. Zaman siber
hari ini, boleh saja bertanya khabar dan berchit chat bila ada masa terluang
walaupun terpisah beribu kilometer jaraknya. Harapan aku cuma satu, agar dia
takkan mensia-siakan peluang ini dan belajar dengan tekun hingga berjaya
mencapai apa yang diimpikannya. Aku pernah kata padanya ..masa depan dia
terletak pada dirinya sendiri, mak dan ayah tak dapat bantu sedikit pun. Kami
hanya mampu berdoa dan bagi dia nasihat dan wang ringgit. Kejayaan dia, bukan
kami yang tentukan..selain Allah, dia yang perlu berusaha untuk berjaya. Mak
dan ayah tak ada duit yang banyak untuk biayai dia, dan perlu buat pinjaman dan
mohon zakat. kalau dah dapat pinjaman dan zakat..HARGAILAH! Jangan
disia-siakan! Kalau tak dapat. Terpaksalah redho, namun rezeki tetap ada,
kerana Allah yang menentukannya.
**************
Selepas keluar dari perkarangan UPSI kami menuju
pula ke Teluk Intan. Hajatnya nak ke rumah abangku di Kampung Sungai Kerang,
Teluk Intan, Perak. Kami gunakan perkhimatan GPS tapi hampeh, rupanya Kampung
Sungai Kerang, Teluk Intan Perak tak ada dalam peta! Kami memang sesat dan
terpaksa berpatah balik dan tersangkut dalam jammed. Jarak dari Tanjung Malim
ke Kampung Sungai Kerang sepatutnya hanya sejam lebih tapi memandangkan kami
tak tahu jalan, jarak perjalanan kami dah mencecah 4 jam lebih di jalanan.
Akhirnya terpaksa juga meminta bantuan abangku untuk menunggu kami di Petronas
Kampung Gajah.
Kami selamat sampai ke rumah abangku pada pukul 5
lebih, itu pun selepas membuntuti abangku yang datang menunggu kami di Petronas
Kampung Gajah dengan motor. Memang mencabar jugalah mencari rumahnya ini. Nak
mengharapkan aku tunjukkan jalan, seribu kali datang pun, belum tentu aku mampu
tunjukkan jalan. Untuk pengetahuan semua, sekolah pertama aku dulu adalah
Sekolah Kebangsaan Sungai Jejawi, Teluk Intan, Perak. Kami sekeluarga menetap
di sini dulu, sehinggalah ibu aku menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Bila diberitahu bahawa Kampung Sungai Kerang ni tak
ada dalam peta dan GPS menghantar kami ke Kampung Sungai Kerang di Terung..aku
pun cakap pada mereka ‘’ Kalau tak, jenuh makan terunglah kita, buat gulai
dengan talang kering...hahaha’’ okey, lawak tak berapa cerdik. Aku faham tu!
Tapi..aku nak bagitau, aku memang terasa hati bila tau Kampung Sungai Kerang
tak ada dalam peta..kikihh..ingatkan Segitiga Bermuda saja yang hilang dari
peta? Kenapalah satelit pun boleh terlepas pandang? Siap taip alamat penuh
lagi..pun tak jumpa! Ish..ishh..ishh...
******************
Usai semua mandi, solat, makan dan melepaskan semua
hajat, kami bertolak pulang ke Yan semula selepas Maghrib. Rezeki aku selepas
bersalam dengan abangku berisi sampul dengan not biru sekeping.
Hihi..Alhamdulillah..Aamiin...dan kami balik dalam keadaan jalan yang lancar
tanpa sebarang jammed. Tak perlu singgah makan pun sebab kami dah makan di
rumah abangku sebelum bertolak. Walaupun ada nasi dan masakan orang jawa, tapi
aku hanya memilih untuk makan laksa dan kek span saja. Kak ipar aku bekalkan
kami kek span dan air sirap. Cukuplah untuk mengalas perut yang masih kenyang
dalam perjalanan dan aku memang tak boleh mengelak dari alergik penghawa dingin
kereta walaupun kami bertolak di waktu malam. Alhamdulillah..alergik dan alahan
aku tak seteruk waktu kami datang. Pukul 12.00 tengah malam lebih, kami selamat
sampai di rumah. Alhamdulillah..kerana Allah permudahkan segalanya. Bajet kali
ini, aku tak pasti berapa sebab aku tak menghulur pun. Aku cuma berdoa agar
perjalanan kami selamat pergi dan balik saja. Soal bajet tak termasuk dalam
agenda kami. Yang penting, ada orang yang sudi hantar. Itu sudah lebih dari
memadai. Terima kasih daun kari. Lepas ni, boleh hantar lagi..hihi..
Nota cinta buat pembaca setia blogku : Terima kasih
untuk semua yang sudi singgah di sini. Sesungguhnya hidup kita ini hanyalah
sementara. Kita hanya merancang dan Allah adalah perancang utama. Kita takkan
pernah tahu masa depan kita. Kita cuma boleh berharap, agar Allah sentiasa
permudahkan segalanya. Bila ada rintangan dan dugaan, kita juga harus berharap
Allah akan tetap kentalkan jiwa kita dan kuatkan hati kita untuk menempuhi
segalanya. Doa dan niat itu yang perlu ikhlas, kerana Allah tahu segalanya, apa
yang tersurat dan tersirat dalam hati kita.
Khas untukmu Anakku..Nur Atikah..hargailah peluang yang ada, jangan disia-siakan kerana peluang keemasan ini takkan datang selalu. Ibumu ini juga pernah berangan untuk ke menara gading suatu ketika dulu, namun diusia 20-an sepertimu jodoh sudah datang bertamu. Redho sajalah pada ketentuan takdir ini, apatah lagi..ibumu tidaklah sebijak anaknya dalam pelajaran dan sumber kewangan juga tak mengizinkan. Belajarlah seikhlas hati kerana Allah!
Doaku sentiasa mengiringi walau di mana saja kau berada dan Allah sentiasa ada bersamamu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.