Nuffnang

Khamis, 11 September 2014

Pernahkah aku memperbodohkan diri sendiri?

Rasanya topik keliru aku bersambung lagi, kali ni keliru dengan setiap tindakan aku sendiri. Aku terpanggil untuk membicarakan topik ini bila terbaca status seorang penulis dalam facebook. Lebih kurang beginilah katanya,.

''Seorang yang bijak akan mengunakan kebijakannya untuk membodohkan orang lain, seorang yang bijak juga adakalanya akan mengunakan kebijakannya untuk membodohkan dirinya sendiri''

Lama juga aku merenung kata-katanya. Aku berfikir kembali, selama ni pernahkah aku membodohkan diri sendiri? Aku update status dalam facebook, aku update entry dalam blog. Banyak juga kisah yang aku utarakan. Kisah-kisah hidupku dan luahan hatiku. Dalam bentuk puisi, cerpen, novel dan sketsa. Mungkin aku telah mencampuradukkan antara realiti dan imaginasi pada sesetengah karya. Tapi tak dinafikan ada antaranya yang merupakan 100% kisah hidupku, terutamanya dalam cerpen sebuah kehidupan dan dalam blog Aku Tetap Aku ini. Adakah aku sedang memperbodohkan diri sendiri bila menulis kisah sendiri dan mengizinkan ribuan orang mengetahuinya? Orang yang membacanya pula mungkin terdiri dari orang yang tidak aku kenali atau pun orang yang mengenali aku dan mencuri membaca setiap entry dan kisahku dalam diam.

Aku menulis untuk apa? Dah banyak kali aku bicarakan persoalan ini. Bila aku menulis cerpen aku sekadar mencari bahagia. Cerpen aku kebanyakan kisah rekaan semata. Sebuah imaginasi yang cuba ku karangkan menjadi sebuah cerita. Bila sedih, aku tak mahu terlalu memikirkan kesedihanku. Aku cuba mencipta sesuatu yang membahagiakan aku. Bila ada pembaca yang suka dengan cerita imaginasiku itu, kebahagiaanku akan berganda. Kalau tak suka, aku tak mampu nak buat apa-apa, kerana aku tak berdaya nak memuaskan hati semua orang terutamanya pakar-pakar dalam bidang penulisan. Aku mungkin pernah membodohkan diri sendiri tapi aku bukan orang yang terlalu bijak untuk memuaskan hati semua orang.

Bila aku belajar untuk menulis novel, aku sekadar mencabar diri sendiri merantau lebih jauh ke alam fantasi. Berjayakah aku mencipta setiap plot cerita dengan baik? Berjayakah aku menulis hingga membuatkan orang lain ingin terus membaca ceritaku? Berjayakah aku menghasilkan konflik yang membuatkan orang menjadi geram, marah atau steress? Berjayakah aku mengolah cerita dengan baik dan membuatkan pembaca tertunggu-tunggu untuk membaca kesudahannya? Banyak juga yang aku ingin lihat dalam setiap karyaku. Mampukah aku? Walau aku sering memberikan motivasi untuk diri sendiri,.kataku kepada diri sendiri ''orang lain mampu, kenapa aku tak mampu? belum cuba belum tau!''

Aku berpuisi sekadar melepaskan lelah di dada. Banyak rupanya rahsia yang terpendam yang tak pernah aku luahkan kepada orang lain. Aku marah, geram, tertekan aku lepaskan dalam bentuk puisi. Aku bahagia, gembira, ceria juga aku lepaskan dalam bentuk puisi. Rasa bersyukur dan simpati juga aku luahkan dalam bentuk puisi. Aku rasa tenang dan bebas dari tekanan setiap kali aku melepaskan segala yang terbeban dalam hati dan minda dalam bentuk puisi.

Berpantun? Oh! Sekadar nak meguji minda mencari rima yang sama pada setiap rangkapnya. Adakalanya aku mampu, adakalanya pantunku jadi buntu,.buntu untuk mencari rima yang sama pada pertengahan pantun dan hujungnya. Tapi berpantun juga adakalanya menjadikan mindaku kembali santai setelah menderita dari kelelahan jiwa.

Cerpen SEBUAH KEHIDUPAN,.ini yang aku runsingkan sebenarnya. Adakah setiap kisahku yang aku paparkan di dalamnya telah menjadikan aku seperti orang bodoh? Aku bukannya bijak seperti orang lain, andai penulis tadi mengatakan orang bijak yang suka membodohkan diri sendiri, aku tak mahulah orang mengata aku ''dahlah bodoh, semakin bodohlah, bila membodohkan diri sendiri! Huarghhhh,.tetiba aku jadi keliru bila membicarakan topik ini. Ada orang kata,.'' Allah dah elok tutup aib kita, kenapa pula kita nak buka aib kita untuk tontonan orang lain?'' Sekali lagi aku jadi keliru! Aib? Apa itu aib? Mengaku kesalahan dengan jujur itu aibkah? Apa yang aku fikir aib itu bila aku buat maksiat dan mengaku perlakuan aku itu kepada orang lain. Itu barulah aib. Adakah aku salah pencaturan?


SEBUAH KEHIDUPAN bukan kisah aku seorang. Ianya realiti kehidupan yang berlaku di atas pentas dunia ini. Aku berbicara dari hatiku yang jujur. Aku tak mahu menuding jari kepada orang itu dan ini tapi hakikatnya aku mengungkapkan kebenaran. Yang salah aku katakan salah, andai itu kesalahanku sendiri untuk apa aku pertikaikan lagi. Adakalanya kita tak pernah sedar setiap kelakuan kita telah melukakan hati orang lain. Aku tahu aku takkan hidup untuk selamanya di atas pentas dunia ini. Sampai masanya aku pasti dijemput Ilahi. Aku mencoretkan segala realiti kehidupan ini buat tatapan mereka yang berkenaan, moga suatu hari nanti mereka terbaca coretanku dan belajar memahami isi hatiku. Walau mereka tidak pernah meminta maaf atas kesilapan yang sama berulangkali tapi aku tak pernah mendendami. Aku tahu dendam itu bukan memberi aku bahagia, bahkan akan semakin membuatkan aku sengsara.


Sebuah Kehidupan juga membicarakan perihal orang-orang yang sama menguriskan jiwaku berulangkali yang menghadiahkan aku air mata dan derita namun sayang mereka tidak pernah menyedari betapa remuknya hatiku diluluhkan dalam diam. Sebuah kehidupan juga membicarakan perihal takdir yang terpaksa aku tempuhi. Adakalanya hatiku menjadi kental setiap kali diuji. Adakalanya jiwaku menjadi goyah dan parah. Kadang-kadang aku redha dalam menempuhi setiap onak dan duri, namun sedetik berlalu redhaku bertukar menjadi pasrah. Redha itu Ikhlas dan Pasrah itu berserah. Hatiku jadi berbolak balik seolah tidak dapat menerima ketentuan takdir, walau jauh di sudut hati , aku sering berdoa agar, biar seberat mana pun ujian yang Allah turunkan, janganlah biarkan aku terus tersungkur.

Hari ini aku bangkit kembali dari kedukaan hari semalam Esok aku belum pasti apa lagi yang harus aku tempuhi. Beginilah sebuah kehidupan. Kita tak mahu menoleh ke belakang kerana takut tersadung dan jatuh tersungkur tapi dalam kita berhati-hati kita pasti diseru masa lalu. Dalam kebodohanku membicarakan rahsia hati, aku cuma berharap pembaca di luar sana mengambil pengajaran dalam setiap apa yang aku paparkan. Aku hanya manusia biasa, takkan pernah terlepas dari membuat kesilapan. Samada kesilapan terhadap orang lain atau terhadap diri sendiri. Hanya Allah yang tahu segala sesuatu itu. Hanya Allah yang tahu apa niatku.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.