Tengok tajuk macam gah sangatkan? Jawapan apa yang aku tahu tu?
Alkisahnya semalam selepas keluar dari bilik air aku diserang sakit dalam perut lagi. Sebenarnya badan aku ni lemah, silap sikit mesti terkena 'penyakit' yang tak lut dengan ubat. Maknanya tu terkena 'gangguan' la.
Aku dah banyak kali buat pemeriksaan darah, maksudnya darah aku sudah diambil untuk diuji. Dari hospital Alor Setar, Hospital Sungai Petani hatta hospital Yan daerah kami ni pun pernah darahku diambil dan dihantar hingga HKL tapi setiap kali ujian yang aku terima NORMAL. Doktor ambil darah untuk uji hormon pula dan keputusannya tetap normal. Aku tiada masalah kesihatan yang boleh diragukan.
Bila mertuaku membawa aku untuk berubat kampung mereka kata aku memang sedang diganggu. Antara percaya dengan tidak tapi aku terpaksa juga percaya. Kadang-kadang kita ingat kita tak ada musuh pun tapi sebenarnya kita tak tahu ada orang mungkin sedang menyimpan dendam atau sedang berdengki dengan kita. Contohnya di awal perkahwinan kami, seorang jiran mertuaku yang asyik sakit-sakit. Walau puas mereka berubat tapi penyakit anak teruna jiran mertuaku ini tetap tak mahu sembuh hinggalah mereka membawanya berubat kampung. Orang yang berubat dia cakap dia terkena buatan orang. Jiran mertuaku(dah arwah) menangis kerana menyangka ada orang nak aniaya mereka.
Hakikatnya benda yang buat dia terkena dan sakit tu ditanam dihadapan rumah mertuaku sebelum majlis kahwin kami. Orang yang tolong ubatkan tu yang cakap, sebenarnya 'benda' tu ditujukan untuk kami dan bukan untuk anak teruna jiran mertuaku ini. Cuma 'benda' tu tak terkena kepada kami suami/isteri bahkan anak teruna jiran mertuaku yang telah terlangkah 'benda' tersebut. Wallahu'alam.
Aku tak tahu apa salah kami kalau benar 'benda' tu sebenarnya ditujukan untuk kami. Selepas kahwin setiap kali tinggal di rumah mertua memang banyak gangguan yang aku rasa tapi aku bersikap positif. Di mana-mana saja gangguan itu pasti ada. Iblis dan syaitan ni ada di mana-mana saja.
Selepas kami berpindah rumah masih tetap ada gangguan tu. Paling kerap waktu aku tidur, tapi hubungan aku dan suami tetap berjalan dengan lancar cuma aku kerap turun darah dan pitam akibat darah yang turun dengan banyaknya. Aku masih nak fikir dengan positif. Aku tak percaya langsung ada orang dengkikan kami. Aku anggap semua yang berlaku ini ujian dari Allah. Setiap kali aku diganggu aku hanya mengamalkan ayat-ayat Al-Quran sebagai pendinding walau pun ada kalanya tak lut pun. Aku tetap diganggu. Aku tak pernah berputus asa walau adakalanya gangguan tu membuatkan aku menaggung rasa sakit terutamanya ketika bangun di tengah malam dan selepas membuat hajat. Biasalahkan bilik air kita tu memang tempat jin bertendang ni lepak.
Penyakit aku semakin lama semakin teruk. Badan aku semakin lemai. Semua urat-urat dalam badan dah tak stabil. Aku asyik berkurung dan malas nak bergaul dengan masyarakat. Ibu mertua yang bimbang dengan keadaanku membawa aku berubat kampung lagi. Kali ini orang yang berubat aku ni cakap aku diganggu langsuir. Erkkk??,.seram aku mendengarnya. Kebetulan aku memang akan terasa ada orang yang sentiasa mengikutku walau aku seorang diri di dalam rumah. Aku bermimpi yang pelik-pelik. Dia membekalkan aku air dan sirih pinang. Selain tu dia juga minta aku bertungku untuk menstabilkan urat-uratku kembali.
Aku sembuh tapi bukan seratus peratus. Badan aku tetap lemai dan lemah. Ada masanya perut aku akan sakit lagi setiap kali masuk ke bilik air di waktu tengah malam. Selalunya aku akan menderita sakit selama dua atau tiga hari. Semalam anak aku yang berumur lima tahun pulang balik tidur di rumah hampir pukul 11.00 malam. Dia balik take over komputer aku dan layan gambar-gambar pilihannya sampai pukul 12 malam. Bila dia tak mahu berhenti aku tutup komputer dan serahkan nset pula kepadanya dan membuka you tube dalam nset pula. Selepas membaca beberapa surah seperti kebiasaannya sebelum tidur aku pun terlelap. Tak tahu pukul berapa anak aku tidur.
Menjelang tengah malam anakku bangun lagi sebab dia batuk dan muntah-muntah. Aku pula mengambil kesempatan untuk ke bilik air. Beberapa minit selepas ke bilik air, perut aku rasa sakit yang amat sangat. Sakit biasa yang ku rasa setiap kali aku ke bilik air waktu tengah malam. Mungkin aku tersilap waktu dan kebetulan waktu tu syaitan sedang bertemasya dalam bilik air dan aku telah menganggu 'pesta' mereka. Agaknyalahkan? Kali ni aku tak mahu mengalah dengan mudah. Aku tak mahu merengkok lagi ditempat tidur akibat menahan sakit. Untungnya, aku adalah penonton setia rancangan Tanyalah Ustaz yang disiarkan setiap pagi di TV9. Tajuk Diari Syaitan yang aku tonton tiga pagi berturut-turut memberi aku ilham bahawa sakit itu adalah kerana adanya gangguan.
Aku baca beberapa surah terutamanya Al-Fatihah, Ayatul Qursi,Al-Falaq, An-Nas dan surah Al-Ikhlas. Sakit aku tetap tak hilang. Aku tak berputus asa. Aku tak mahu menanggung sakit seharian hari ini. Aku baca berkali-kali surah-surah tersebut hinggalah Allah memberi ilham lain kepadaku. Aku membacakan surah-surah tersebut dan menghembuskannya dalam botol mineral kecil yang telah aku isikan dengan air masak. Aku mulakan meminumnya dengan lafaz bismillah dan meneguknya tiga kali dan menyapu tiga kali di perut yang sakit. Alhamdullillah!,.seperti sedang membuang 'kuman' yang singgah di atas kudis selepas beberapa minit perut aku pulih dan aku tertidur selepas itu hinggalah azan subuh berkumandang.
Ya Allah,.terima kasih kerana selalu memberi aku ilham disaat aku alami kecemasan. Adakalanya kita hanya dilanda penyakit malas untuk melakukannya. Syaitan ni dah berjanji nak menghuru-harakan kaum kerabat Nabi Adam dan dia akan laksanakan sumpahnya itu. Aku tak mahu menyimpan syak wasangka kepada orang lain. Bagi aku nak berdengki atau berdendam terpulanglah kepada mereka. Aku hanya percaya kalau tiada orang yang menghantar pun syaitan ni tetap wujud untuk menganggu kita di mana saja. Allah tahu segalanya dan andai kita tetap diganggu walau perbagai usaha dah kita lakukan, maknanya Allah yang izinkan segalanya. Allah nak menguji kita sejauh mana kita percaya dengan kewujudan-NYA.
Aku sudahi coretan aku pagi ni dengan satu renungan untuk diriku dan pembaca lain juga,.
Walau apa pun yang kita lalui,.ingatlah Allah Maha Melihat dan Maha Tahu. Mohonlah petunjuk dari Allah tanpa jemu. Allah memang suka kepada hamba-NYA yang suka meminta-minta kepada-NYA.
BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
113. Al-Falaq
[1] Katakanlah (wahai Muhammad); “Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk,
[2] “Dari bencana makhluk-makhluk yang Ia ciptakan;
[3] “Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk;
[4] “Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan);
[5] “Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya”.
Ayatul Qursi |
BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
114. An-Nas
[1] Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia.
[2] “Yang Menguasai sekalian manusia,
[3] “Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia,
[4] “Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, -
[5] “Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, -
[6] “(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia”.
BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
112. Al-Ikhlas
[1] Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa;
[2] “Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat;
[3] “Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan;
[4] “Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya”.
Ayatul Kursi (The Throne Verse)
Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.